Kembara Modenas MR1 Sipitang Menumbok Labuan




Assalamualaikum.. Selamat sejahtera. Hai apa khabar para pembaca semua? AK harap semuanya sihat dan berbahagia selalu.

Erm.. dah lama AK tak pos apa-apa dalam blog ini. Hahaha.. bukan setakat tak ada idea tapi disebabkan juga tahap kemalasan AK yang luar biasa, kerana itulah blog ini menjadi sunyi. Krikkrik..krikkrik..

Baiklah AK pun malas nak buang masa, jadi terus ke topik asal. Baru-baru ini AK telah melakukan kembara bermotosikal secara solo bertarikh 30 hingga 31 Julai 2016. Melalui jalan darat Sipitang ke Menumbok dan pengangkutan laut(feri) ke Wilayah Persekutuan Labuan.

Lokasi yang hendak dituju adalah Wilayah Persekutuan Labuan dengan tujuan sebenarnya untuk menghadiri majlis perkahwinan kawan-kawan lama zaman sekolah dahulu.

AK pun sebenarnya tak berapa reti nak buat laporan pengembaraan ni maklumlah dah lama tak sekolah. Tapi AK cuba sebaik mungkin untuk menceritakannya.

Pada tarikh 30 Julai 2016 dengan menggunakan motosikal Modenas MR1 yang AK namakan Kuro, AK memulakan perjalanan dari rumah(Sipitang) sekitar jam 03:11 dengan bacaan panel meter 298184. Cuaca yang hujan sekejap-sekejap sepanjang perjalanan dan ditambah lagi dengan suasana gelap memberikan cabaran tersendiri kepada AK dan Kuro. Terus terang sepanjang perjalanan yang gelap macam-macam yang AK fikirkan, perasaan takut memuncak apabila melihat kelibat-kelibat ganjil. Hihihi.. AK memang penakut sebenarnya.

Oleh kerana keadaan cuaca yang agak buruk maka AK tidak berani untuk memaksa Kuro bergerak terlalu laju. Kelajuan pada panel meter hanya sekitar 40 hingga 70Km/j.

Setibanya di Terminal Feri Menumbok sekitar jam 05:15 dan bacaan panel meter pula 299205. AK mengambil keputusan untuk menunaikan solat Subuh di masjid berdekatan sebelum ke kaunter untuk membeli tiket. Harga tiket untuk seorang dewasa dan motosikal RM15 dan bayaran cukai pula RM2.

Feri yang AK naik bergerak ke Labuan sekitar jam 06:30. Dalam feri itu AK hanya sekadar duduk menonton tayangan Boboiboy The Movie yang telah disediakan. Hahaha.. oleh kerana cuaca sejuk dan pakaian AK pun masih lembab membuatkan AK terasa sejuk dan teringin pula nak makan mi segera cawan yang ada dijual dalam feri tersebut dengan harga RM3.50.

Sekitar jam 07:40 feri telah sampai namun terpaksa menunggu agak lama sebelum boleh mendarat kerana masih terdapat feri yang belum memulakan pergerakannya di situ.

Seusai AK keluar dari perut feri itu, AK pun memulakan perjalanan untuk ke Kampung Lubok Temiang iaitu kampung tempat tinggal nenek AK.

Sebenarnya AK rasa sedikit bersalah kerana hampir-hampir menyebabkan kemalangan ketika memasuki sebuah simpang ketika berada di kawasan bandar Labuan itu. Namun syukurlah semuanya selamat. AK harap pemandu kereta Keliasa biru itu tak marah pada AK. Maklumlah AK tak biasa dengan selok-belok jalan di sana dan ditambah lagi dengan keadaan AK yang masih belum stabil keseimbangannya pasal baru lepas keluar feri.

AK selamat sampai ke rumah nenek AK sekitar jam 08:50. Sambil berehat seketika sebelum menunggu kawan-kawan lama AK memaklumkan rancangan jam berapa hendak bersama ke majlis perkahwin kawan lama kami Liyana merangkap sepupu dua kali AK.

Walau pun cuaca hujan namun AK bersama kawan-kawan tetap gagahi untuk menghadiri majlis perkahwinan tersebut.

Inilah antara kawan-kawan lama AK dan yang berbaju T-shirt hitam merah itulah sahabat baik AK Yang Berbahagia Ahmad Shayuti a.k.a AS. Hahaha.. AK pula berbaju kemeja biru nampak tak? Macam mana nak nampak kalau AK yang sedang ambil gambar hahaha..

Selesai menghadiri majlis tersebut kami pergi pula ke rumah terbuka kawan kepada kawan AK iaitu Supian. AK baru pernah jumpa dua kali tak berapa kenal. Rasa macam segan pula pasal datang pun tanpa undangan, tapi harap-harap dia tak kisah. Tak pula AK ada ambil gambar masa ni.

Selepas selesai AK pun melepak di rumah sahabat AK si AS la.. macam-macam cerita kami sampai last-last kami just tengok youtube kat laptop AS.

Seusai AK solat Isyak di Masjid Kampung Lajau terus AK ke rumah Kak Su untuk menghadiri majlis tahlil arwah 40 hari adiknya. Innalillah hiwain nailaihirojiun. Al-Fatihah.

Malam tersebut sempat juga AK tonton tv bersama nenek AK. Tapi tak lama pasal AK dah mengantuk sangat.

Esok pagi 31 Julai 2016 AK santai-santai di rumah nenek sambil menonton TV3 iklan periuk jenama ilo hahaha.. ulangan demi ulangan ikalan tersebut membuatkan AK seperti mahu membeli periuk dan kuali tersebut. Hahaha.. walau pun AK ni lelaki dan tak minat memasak tapi kuat betul penangan iklan tu.

Tibalah masa yang dinantikan AK dan kawan-kawan bersama lagi menghadiri satu lagi majlis perkahwinan kawan lama kami iaitu Mastini.

Ha.. dalam gambar kali ini barulah nampak AK pasal guna kamera kawan masa tangkap gambar ini. Tak sangka macam berjanji pula AK dan AS pakai baju melayu hitam hahaha.. nasib tak kena paksa buat persembahan silat. Kalau tak mesti kesian kat AS yang sakit belakang pada masa tu. AK yang pakai songkok dan kaca mata hitam tu la..

Selesai menghadiri majlis tersebut, AK mengucapkan terima kasih kepada nenek AK dan juga kepada AS sebelum memulakan semula perjalanan pulang ke sipitang.

Rasanya tak payah la AK ceritakan perjalanan balik pasal lebih kurang je. Tapi AK bagi tahu la yang AK sampai ke rumah sekitar jam 21:16 dengan bacaan panel meter 300904 dan dalam keadaan basah juga. Maklumlah hujan.

Jarak perjalanan antara Sipitang ke Terminal Feri Menumbok boleh AK anggarkan dalam lingkungan 103Km dan masa yang AK peruntukkan sekitar 2 jam 5 minit ini pun di sebabkan faktor cuaca yang melambatkan lagi perjalanan.

Apa-apa pun AK sangat bersyukur alhamdulillah kerana Allah SWT telah melancarkan segala urusan AK sepanjang kembara tersebut.

Arigato. Terima kasih nenek, AS dan kawan-kawan. Tak lupa juga arigato kepada Kuro my black motorcycle.

Semoga bertemu lagi dalam pos yang selanjutnya. Terima kasih kerana sudi membaca karangan budak sekolah yang dah lama tak sekolah ni. Hahaha..